FIS

Apa itu FIS?

Jika saudara hendak menjadi penerbit ataupun pengedar, ataupun saudara hendak membuka kedai buku, saudara perlu berurusan dengan bank. Eloklah saudara tahu tentang FIS.

FIS adalah singkatan Financial Information System (sistem maklumat kewangan)

FIS ditubuhkan oleh Bank Negara. Semua bank, semua syarikat finance, semua syarikat kredit, diwajibkan memberikan maklumat tentang siapa yang berhutang dengan masing-masing syarikat.

Saudara boleh pergi ke Bank Negara dan bawa MyKad. Bayar RM2 di kaunter FIS.

Dengan RM2 itu saudara boleh mendapat rekod semua hutang piutang saudara di SEMUA institusi kewangan negara ini! SEMUA!!

Saudara boleh dapat rekod berapa hutang perumahan saudara, hutang kereta, hutang kad kredit, hutang peribadi dan lain-lain hutang kecuali hutang dengan ceti dan along.

Jika saudara mempunyai syarikat, semua rekod hutang-piutang syarikat saudara dengan semua insitusi kewangan negara ini juga ada dalam FIS.

FIS digunakan oleh semua institusi kewangan bagi menyemak rekod hutang-piutang saudara apabila mereka memproses permohonan pinjaman saudara.

Jangan cuba menyorokkan maklumat hutang-piutang saudara apabila mengisi borang permohonan pinjaman ataupun borang fasiliti bank. Sebelum saudara tulis maklumat tidak betul itu, bank sudah tahu!

---

CCRIS

Apa itu CCRIS?

CCRIS atau Central Credit Reference Information System iaitu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ialah satu sistem pangkalan data berkomputer untuk mengutip, memproses, menyimpan dan menghasilkan maklumat kredit seseorang. Ia dikawal selia oleh Biro Kredit di bawah naungan Bank Negara Malaysia. Apabila seseorang individu atau syarikat membuat pinjaman dari mana-mana bank, maklumat pinjaman tersebut akan dikutip oleh Biro Kredit dan dimasukkan ke dalam laporan CCRIS ini. Di dalam laporan CCRIS terdapat 3 bahagian utama iaitu Laporan Ringkas Kredit, Laporan Kredit Terperinci dan Laporan Kredit Tambahan.

Laporan Ringkas Kredit terdapat 3 pecahan iaitu yang pertama menyatakan permohonan kredit yang dipohon sama ada yang telah diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan yang masih dalam pertimbangan pihak bank. Pecahan kedua pula menyatakan liabiliti semasa yang ditanggung yang meliputi jumlah baki pinjaman dan jumlah had yang diberikan tidak kira sebagai peminjam dan penjamin. Pecahan terakhir pula menyatakan sekiranya ada tindakan undang-undang yang dikenakan. Jadi sekiranya anda disenarai hitam, dengan hanya melihat pada bahagian pertama laporan CCRIS sahaja pihak bank sudah boleh tahu status diri anda.

Laporan Kredit Terperinci adalah bahagian yang terpenting yang memberi gambaran terperinci dan menyeluruh tentang setiap satu pinjaman yang yang diperolehi oleh pelanggan sama ada untuk dirinya sendiri, secara bersama bagi akaun bersama, sebagai pemilik bagi perniagaan tunggal dan sebagai rakan kongsi bagi perniagaan perkongsian atau badan profesional berserta corak pembayaran untuk satu-satu pinjaman tersebut selama 12 bulan sebelumnya. Ini bermaksud sekiranya anda mempunyai pinjaman kenderaan, di sini ditunjukkan pada bulan berapa bayaran kenderaan ada tertunggak dan berapa bulan tunggakan tersebut untuk tempoh 12 bulan yang lalu. Bukan sahaja untuk pinjaman kenderaan sahaja, juga ditunjukkan di sini ialah pinjaman berjangka yang lain seperti rumah, kad kredit, overdraf, pinjaman peribadi, belian barang elektrik atau perabot secara ansuran, pemajakan, resit amanah, belian cek luar, pemfaktoran, belian bil-bil domestik dan lain-lain. Selain menunjukkan jenis pinjaman dan corak bayaran, butiran lain seperti tarikh pinjaman, status, kapasiti, jenis institusi yang memberi pinjaman, jumlah belum jelas, tarikh baki dikemaskini, tempoh pembayaran balik prinsipal, jenis cagaran, status undang-undang dan tarikh status dikemaskini turut dipaparkan di halaman ini. Apa maksudnya? Sekiranya 10 bulan lalu kereta anda tertunggak 3 bulan, walaupun sekarang ini anda telah ‘update’ dan tiada tunggakan, pihak bank tetap akan tahu perkara tersebut. Oleh itu tidak ada gunanya untuk berselindung.

Laporan Kredit Tambahan adalah merupakan bahagian terakhir dalam laporan CCRIS. Walaupun yang terakhir ia tidak kurang penting terutamanya kepada pihak pemberi pinjaman kerana di sinilah dinyatakan alamat-alamat yang pernah diduduki oleh pelanggan sama ada alamat rumah atau syarikat, nombor-nombor telefon tidak kira telefon rumah, pejabat ataupun telefon bimbit yang pernah atau masih digunakan oleh pelanggan dan juga maklumat pekerjaan pelanggan meliputi jawatan dan nama syarikat tempat pelanggan bekerja dulu dan kini. Jadi, jangan terkejut sekiranya pegawai bank boleh menyatakan dengan tepat sejarah tempat tinggal, nombor telefon dan perkerjaan anda ketika anda membuat pinjaman dengan pihak bank. Dan nasihat saya, jangan cuba memberi maklumat palsu kepada pihak bank dalam apa-apa permohonan pinjaman kerana maklumat diri anda di hujung jari mereka dengan adanya laporan CCRIS ini.

Begitu ramai pengunjung blog ini yang mengajukan pertanyaan kepada kami di RMsatu.com berkaitan CCRIS terutamanya yang menghadapi masalah laporan CCRIS yang tidak ‘cantik’. Apa yang boleh kami nyatakan di sini, laporan CCRIS hanya menunjukkan corak bayaran selama 12 bulan terdahulu. Sekiranya tunggakan bayaran berlaku lebih dari 12 bulan lalu, usah khuatir kerana ia tidak nampak di dalam laporan CCRIS ini selagi tiada tindakan undang-undang dikenakan. Selain itu, bagi pinjaman yang telah diselesaikan sepenuhnya baki pinjaman, laporan berkenaan pinjaman tersebut akan diluputkan sepenuhnya dari laporan CCRIS dalam masa paling lama pun sebulan sahaja. Jadi, walaupun pernah bayaran kurang memuaskan pada satu-satu masa lalu sebaik sahaja bayaran telah dijelaskan sepenuhnya maka sejarah tersebut tidak kelihatan lagi.

ARTIKEL INI TELAH DIPETIK DARI RMsatu.com, jika ingin maklumat lanjut, anda boleh ke web tersebut.

---

CTOS

Apa itu CTOS?

Tahukah anda bahawa CTOS telah digunakan oleh bank-bank dan syarikat pinjaman berlesen yang lain sejak tahun 1990? Ini bermakna sejak 17 tahun dahulu!!

Kenapa sekarang baru mahu bising?

Entahlah, dikatakan kerana banyak rungutan dilaporkan berkenaan maklumat yang dipaparkan di dalam CTOS kebanyakkannya tidak diperbaharui statusnya. Contohnya jika nama anda pernah disenaraihitam, walaupun anda telah menyelesaikan hutang tersebut, tetapi di CTOS senaraihitam anda masih belum dipadamkan setelah sekian lama.Tetapi itu hanya petikan akhbar yang saya baca. Bukan kuasa saya untuk mengatakan ia benar ataupun tidak. Apapun kita lupakan sebentar tentang perkara itu.

Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah tentang apa itu CTOS, dan apa kaitannya dengan syarat kelulusan pinjaman?

Dalam satu-satu proses meluluskan pinjaman, pihak bank atau syarikat pinjaman berlesen biasanya akan melihat beberapa sistem untuk menilai kedudukan kewangan pemohon selain untuk mengetahui jumlah komitmen/pinjaman kewangan yang ditanggung oleh pemohon. Antaranya adalah CTOS.

CTOS adalah singkatan dari Credit Tip Off Service Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat persendirian yang memberi kemudahan maklumat kewangan seseorang individu kepada pihak yang berminat, biasanya pihak bank dan syarikat pinjaman berlesen. Maklumat kewangan yang dimaksudkan di sini bukan bermaksud berapa jumlah wang simpanan seseorang individu itu ada tetapi lebih kepada situasi kedudukan kewangannya.

Terdapat 4 seksyen di dalam CTOS iaitu:-

Seksyen A - Nama Dan No. Kad Pengenalan Individu; yang mana memaparkan nama penuh dan no. kad pengenalan pemohon,

Seksyen B - Maklumat Perniagaan Individu; memaparkan syarikat yang dimiliki pemohon sama ada beliau sebagai pemilik tunggal, ahli kongsi, pengarah syarikat mahupun pemegang syer,

Seksyen C - Maklumat Saman dan Muflis; memaparkan maklumat sekiranya nama pemohon pernah disaman, status samannya (jika ada), muflis dan sebagainya - yang mana bermaksud sekiranya nama pemohon tersenarai maka dia bukanlah seorang yang kukuh dari segi kewangan atau dalam bahasa mudahnya ‘blacklist’ (mungkin satu masa dahulu; bukan sekarang atau juga mungkin dahulu; dan masih lagi sekarang ini), dan

Seksyen D - Rujukan Lain; yang mana biasanya ruangan ini memaparkan pinjaman yang dibuat oleh pemohon dari syarikat-syarikat yang lain yang melibatkan bayaran ansuran seperti motosikal, barangan elektrik, alat bantu belajar bahasa dan perabot rumah.

Jadi, secara ringkasnya CTOS hanya merupakan salah satu sistem rujukan yang digunakan untuk menilai sama ada nama anda sebagai pemohon ada disenaraihitam atau tidak, maklumat perniagaan berkaitan anda dan lain-lain bayaran ansuran yang sedang ditanggung. Namun jangan khuatir kerana tidak semua tentang diri dan pinjaman anda dapat diketahui pihak bank melalui sistem ini. Ada sistem yang lebih terperinci tentang diri anda yang dilihat oleh pihak bank dalam meluluskan pinjaman anda.

---


Antara kesilapan sering dilakukan kebanyakan individu adalah terlalu banyak berhutang (Oleh Azli AyobBH)

MELANGKAH ke alam pekerjaan adalah titik permulaan bagi anda untuk mula mendalami aspek pengurusan kewangan.

Ia juga tempoh bagi anda untuk memulakan aspek perancangan kewangan yang kelak akan memastikan anda dapat hidup dengan wang mencukupi ketika dewasa dan tidak terjebak dengan kancah hutang serta tidak menghadapi masalah perbelanjaan bulanan.

Inilah juga masanya untuk anda mencari akaun perbankan yang sesuai untuk mendapatkan faedah sepenuhnya daripada akaun perbankan yang dipilih itu.

Untuk mendapatkan manfaat daripada akaun berkenaan, anda perlu membandingkan kadar dan manfaat yang ditawarkan produk yang berbeza.

Sebagai individu yang baru bekerja, anda tentunya ingin mengetahui apakah kaedah bayaran alternatif yang menyenangkan yang boleh digunakan untuk pembelian sebagai ganti kepada kaedah membayar secara tunai.
Jika pendapatan tahunan anda melebihi RM18,000, anda bolen memohon kad bayaran termasuk kad kredit.

Bandingkan kad yang ditawarkan, dan yang lebih penting, ketahui bagaimana untuk mengurus penggunaan kad itu kerana penggunaan yang tidak terkawal boleh membawa bebanan kewangan.

Jika anda ingin membeli rumah atau kereta sendiri pula, terdapat pelbagai pinjaman perumahan dan sewa-beli kenderaan yang boleh membiaya pembelian itu yang ditawarkan oleh pelbagai institusi perbankan.

Bagaimanapun, ada baiknya anda membuat perbandingan produk yang ditawarkan itu. Lihat perbezaan harga dan ciri-ciri pinjaman.
Anda juga harus ingat, dengan pembelian rumah atau kenderaan, anda juga perlu mendapatkan perlindungan insurans untuk rumah, kenderaan atau pinjaman anda.

Satu lagi aspek yang perlu diambil kira sebagai individu bekerja adalah untuk mengambil tahu perkara mengenai insurans perubatan dan kesihatan serta insurans berkaitan pelaburan supaya anda dilindungi sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

Namun, langkah pertama yang perlu dilakukan sebaik mula melangkah ke alam pekerjaan adalah merancang perbelanjaan bulanan.

Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda bergaji besar atau kecil bagi tujuan mencapai matlamat kewangan iaitu sama ada bagi membeli kereta, rumah, pergi melancong, mendirikan rumah tangga atau bagi tujuan persaraan.

Antara kesilapan yang sering dilakukan kebanyakan daripada kita adalah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.

Namun, anda sebenarnya boleh mengelak daripada melakukan kesilapan sebegini dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.

Selepas anda menentukan matlamat kewangan yang ingin dicapai, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik supaya matlamat itu mudah dicapai.

Ingat bahawa matlamat anda dalam masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda.

Menerusi pemerhatian itu, anda dapat mengetahui:

# Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang?

# Berapa banyak hutang anda setiap bulan?

# Berapa baki wang yang masih ada di hujung bulan?

Sekiranya wang anda tidak berbaki pada hujung bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja.

Justeru, teliti semula semua perbelanjaan dan tentukan sama ada apa yang telah dibeli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda.

Pelan perbelanjaan itu juga dapat membantu anda merancang kewangan.

Anda boleh mengesan ke mana wang dibelanjakan dan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan itu serta mula merancang simpanan anda.

Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut:

# Tentukan jumlah pendapatan bulanan anda.

# Tambah jumlah perbelanjaan termasuk bil bulanan, bayaran balik pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, sewa, perbelanjaan seharian dan lain lain.

# Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim seperti membayar cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain.

Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

---